Aqiqah menurut bahasa ialah ‘memotong’. Pada asalnya ia merujuk pada rambut yang terdapat pada kepala bayi ketika bayi tersebut keluar dari rahim ibunya, rambut itu dinamakan aqiqah kerana ianya harus dipotong (dicukur).
Menurut istilah pula aqiqah ialah haiwan yang disembelih kerana bayi atau untuk bayi yang dilahirkan. Dinamakan sembelihan itu dengan aqiqah adalah kerana haiwan tersebut disembelih pada hari mencukur rambut kepala bayi itu.
Dalam menentukan waktu yang terbaik untuk seseorang itu melaksanakan aqiqah, kita perhatikan pandangan Imam Ahmad ibn Hanbal yang menyatakan bahawa penyembelihan aqiqah dilaksanakan pada hari ketujuh, jika tidak dapat maka pada hari keempat belas, jika tidak dapat juga maka lakukanlah pada hari kedua puluh satu.
Adapun jika pada hari-hari tersebut tidak dapat dilaksanakan kerana tidak berkemampuan, maka penyembelihan boleh dilakukan pada hari-hari lain yang memungkinkannya melaksanakan aqiqah tersebut.
Rasulullah S.A.W bersabda; “ Seorang anak terikat dengan aqiqahnya yang disembelih pada hari ketujuh, dan dicukur serta diberi nama.” Hadis riwayat Ahmad & Tirmidzi.
Aqiqah merupakan suatu bentuk ibadah apabila seseorang itu dikurniakan anak oleh Allah S.W.T. Maka ia dituntut ke atas setiap ibu bapa yang dikurniakan anak sebagai tanda kesyukuran kepada Allah S.W.T.
Dalam sebuah hadis Rasulullah S.A.W. bersabda: “Sesungguhnya Rasulullah S.A.W menuntut untuk dinamakan anak (yang baru lahir) pada hari ketujuh, dicukur rambutnya dan diaqiqahkannya.” Hadis Riwayat Tirmidzi.
Perlaksanaan ibadah aqiqah dianjurkan untuk anak lelaki dan juga anak perempuan, sebagaimana hadis Rasulullah S.A.W. yang bermaksud; “Anak lelaki diaqiqahkan dengan dua ekor kambing dan anak perempuan diaqiqahkan dengan seekor kambing.” Hadis riwayat Ahmad & Tirmidzi.
Dalam sebuah hadis lain Rasulullah bersabda; “Rasulullah S.A.W telah memerintahkan kepada kami untuk mengaqiqahkan anak lelaki dengan dua ekor kambing dan anak perempuan dengan satu ekor kambing.”
Hadis riwayat Ibn Abi Syaiban. Hadis di atas secara keseluruhannya menunjukkan dua perkara; Pertama; baik anak lelaki mahupun perempuan, sama-sama disyariatkan supaya dilaksanakan aqiqah. Kedua; perbezaan bahawa anak lelaki dengan dua ekor kambing sedangkan anak perempuan dengan satu ekor kambing.
Menurut jumhur ulama, haiwan yang dibolehkan untuk disembelih bagi ibadah aqiqah ialah unta, lembu, kerbau, kambing, biri-biri dan kibas. Pelaksanaan penyembelihan haiwan tersebut di dalam ibadah aqiqah juga mempunyai syarat-syarat tertentu seperti berikut;
Unta berumur 5 tahun dan masuk tahun ke 6.
Lembu atau kerbau berumur 2 tahun masuk tahun ke 3.
Kambing atau biri-biri berumur 2 tahun atau telah bersalin gigi.
Kibas berumur 1 tahun atau telah bersalin gigi.
Haiwan tersebut juga disyaratkan tidak cacat.
Menurut jumhur ulama, haiwan yang dibolehkan untuk disembelih bagi ibadah aqiqah ialah unta, lembu, kerbau, kambing, biri-biri dan kibas. Pelaksanaan penyembelihan haiwan tersebut di dalam ibadah aqiqah juga mempunyai syarat-syarat tertentu seperti berikut;
1. Unta berumur 5 tahun dan masuk tahun ke 6.
2. Lembu atau kerbau berumur 2 tahun masuk tahun ke 3.
3. Kambing atau biri-biri berumur 2 tahun atau telah bersalin gigi.
4. Kibas berumur 1 tahun atau telah bersalin gigi.
5. Haiwan tersebut juga disyaratkan tidak cacat.
Mereka yang paling layak menerima sedekah adalah orang fakir dan miskin dari kalangan umat Islam, begitu juga dengan aqiqah, mereka yang paling layak menerima adalah orang miskin di kalangan umat Islam. Walau bagaimanapun berdasarkan beberapa buah hadis dan amalan Rasulullah dan para sahabat, kita disunatkan juga memakan sebahagian daripada daging tersebut, bersedekah sebahagian dan menghadiahkan sebahagian lagi. Apa yang membezakan aqiqah dan qurban ialah kita disunatkan memberikan sebahagian kaki kambing aqiqah tersebut kepada bidan yang menyambut kelahiran tersebut.